• 2025-06-25 02:28 PM

KUANTAN: Seorang pekebun kecil kerugian lebih RM239,000 setelah terperdaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud dalam talian, Mac lepas.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata lelaki berusia 37 tahun itu mengetahui tentang pelaburan itu menerusi aplikasi WhatsApp dan tertarik untuk melabur kerana dijanjikan pulangan lumayan.

“Mangsa telah membuat 41 transaksi ke 19 akaun bank dari 22 Mac hingga 16 Jun berjumlah lebih RM239,000 menggunakan wang simpanan selain meminjam daripada abang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa menyedari dirinya ditipu selepas gagal memperoleh sebarang pulangan seperti dijanjikan.

Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong semalam, dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.