KUALA LUMPUR: Seorang pekerja pembersihan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak wang tunai RM600 milik seorang wanita berusia 87 tahun di sebuah pangsapuri, minggu lepas.

M. Ananthan, 35, didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas, melakukan rompakan berkumpulan terhadap Wan Swee Yin di hadapan lif, tingkat lima sebuah pangsapuri di Jinjang Utara, Sentul di sini pada 11 pagi, 25 Julai lepas.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Muhairi Mohamed Noh mencadangkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin, namun Ananthan yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan menanggung seorang anak dan isteri yang menghidap penyakit buah pinggang.

Hakim Dr Azrol Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 Sept ini untuk sebutan semula kes.