PORT DICKSON: Seorang pelajar kolej di sini maut apabila motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan membabitkan enam motosikal di Kilometer 28.3 Lebuhraya Seremban-Port Dickson, arah ke Port Dickson pada 3.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Supt Maslan Udin berkata kejadian itu melibatkan enam penunggang motosikal berusia antara 17 hingga 20 tahun dari arah Seremban ke Port Dickson.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila sebuah motosikal telah melanggar belakang motosikal di hadapannya, menyebabkan kesemua penunggang hilang kawalan dan bertembung antara satu sama lain.

“Akibat kemalangan itu, seorang penunggang lelaki berusia 18 tahun disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala lima lagi mangsa mengalami kecederaan ringan,“ katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Maslan berkata pihak polis menyeru ibu bapa dan penjaga agar sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta memastikan mereka menunggang motosikal secara sah dan berhemah.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.