• 2025-06-26 10:00 AM

SHAH ALAM: Seorang pelajar Kolej Vokasional Banting maut dalam kemalangan jalan raya semalam selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dan dilanggar sebuah lori di kilometer 32 Jalan Klang-Banting-Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata kejadian berlaku pada jam 5.10 petang ketika mangsa, seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kanchong, Kuala Langat. Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal Yamaha Lagenda 115Z dari arah Telok Datok menuju ke Banting. Motosikal itu didapati berada di tengah-tengah antara lorong kanan dan kiri sebelum hilang kawalan dan terjatuh ke lorong kanan.

“Sebuah lori Nissan tanpa muatan yang bergerak di lorong kanan melanggar mangsa dan motosikalnya. Akibat pelanggaran itu, mangsa dan motosikal terperosok di bawah lori serta digilis tayar belakang sebelah kanan,” kata Mohd Akmalrizal dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah bahawa mangsa mempunyai lesen memandu dan memakai topi keledar ketika kejadian. Pemandu lori, seorang lelaki tempatan berusia 50-an, tidak mengalami kecederaan. Waris mangsa dan saksi telah memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat.