• 2025-07-17 09:13 PM

WELLINGTON: Pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian di luar negara digesa untuk tidak hanya fokus kepada pembelajaran akademik semata-mata, tetapi juga memanfaatkan peluang mempelajari budaya tempatan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penglibatan pelajar dalam komuniti setempat membantu mereka memahami adat dan cara hidup masyarakat, sekaligus melahirkan graduan yang lebih holistik dan berwibawa.

“Jangan hanya belajar dalam ruang kuliah, tutorial atau bilik pensyarah sahaja. Kita juga perlu memperkenalkan diri kepada masyarakat tempatan dan mempelajari budaya mereka, khususnya budaya Maori yang kaya dengan nilai sejarah dan semangat perjuangan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berucap pada Majlis Ramah Mesra bersama lebih 250 pelajar dan rakyat Malaysia yang menetap di New Zealand. Turut hadir ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Mazita Marzuki serta delegasi rasmi dan pegawai kanan kerajaan Malaysia.

Beliau menyatakan kekagumannya terhadap semangat masyarakat Maori yang berjaya mengekalkan warisan budaya sambil menguruskan ekonomi komuniti melalui agensi amanah mereka sejak abad ke-19.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pemimpin dan komuniti Maori di sini. Kita boleh belajar daripada semangat dan kekuatan mereka dalam memperjuangkan hak, dan menyesuaikan ia dengan konteks Malaysia, terutamanya dalam usaha memperkasakan masyarakat Orang Asli,” katanya.

Ahmad Zahid turut menyatakan kebanggaan terhadap pencapaian pelajar tajaan pelbagai agensi seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (MARA), syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Beliau menekankan bahawa asimilasi sosial dan pemahaman silang budaya adalah penting dalam membina insan berdaya saing yang akan kembali berkhidmat kepada negara.

“Saya minta, baliklah ke Malaysia. Terutamanya bagi mereka yang dalam bidang kejuruteraan, perundangan, perakaunan dan sebagainya. Saya tahu gaji di Malaysia agak rendah berbanding New Zealand, tetapi kita mesti ingat, ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’,” katanya.

Pada majlis tersebut, Ahmad Zahid turut mengumumkan peruntukan NZ$100,000 (RM251,000) kepada Rumah Malaysia bagi persiapan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini. - Bernama