PAPAR: Polis sedang menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kematian seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun yang dilaporkan terjatuh dari bangunan asrama sebuah sekolah menengah di daerah ini pada Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Papar Supt Kamaruddin Ambo Sakka meminta orang ramai tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan dan menghormati keluarga mangsa.
“Pihak polis menerima laporan mengenai kejadian pada 8.16 pagi dan mangsa segera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut namun disahkan meninggal dunia kira-kira 1 tengah hari semalam,“ katanya.
Mangsa yang merupakan penghuni asrama sekolah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama dipercayai terjatuh dari bangunan sekitar 3 pagi.
Polis menggesa orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar di talian 088-912222.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berhubung kejadian tersebut. - Bernama