KUALA LUMPUR: Pelan Tindakan Dana Infrastruktur ASEAN (AIF) (2025-2028) akan memperkukuh peranan ASEAN sebagai piawaian global dalam tadbir urus dan pembangunan mampan, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata pelan tindakan itu bertujuan memastikan keyakinan dalam kalangan bakal pelabur dan pembiaya bersama, yang seterusnya memberi manfaat nyata kepada negara anggota ASEAN dalam membangunkan projek infrastruktur yang mampan dan berdaya tahan sekali gus akan menyumbang kepada pertumbuhan dan pembangunan ASEAN untuk tempoh akan datang.
“Sebagai pengerusi AIF dan pengerusi ASEAN tahun ini, Malaysia berbangga dengan kemajuan yang dicapai oleh dana ini dan visi transformasi yang didukungnya.
“Malaysia yakin AIF merupakan mekanisme penting untuk mengatasi cabaran infrastruktur di rantau ini, dan kami menyokong penuh evolusinya ke arah ASEAN yang lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif,” katanya pada majlis pelancaran pelan tindakan itu di sini, hari ini.