IPOH: Pelbagai inisiatif bagi meningkatkan capaian Internet di Perak, dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan bantuan kerajaan negeri, dijangka siap secara berperingkat menjelang hujung 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri Mohd Azlan Helmi berkata inisiatif itu termasuk pembinaan menara telekomunikasi baharu, penyediaan liputan 5G serta pembinaan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang menyediakan liputan Internet secara kolektif.
“Penambahbaikan liputan Jalur Lebar Mudah Alih dan sambungan gentian optik ke premis melalui pembinaan 206 struktur telekomunikasi baharu di seluruh negeri Perak di mana kemajuan telah mencapai hampir 50 peratus.
“(Kerja) menaik taraf 2,500 stesen pemancar kepada teknologi 4G/LTE telah mencapai sasaran 100 peratus kemajuan, dan menyediakan ketersediaan sambungan Gentian Optik ke premis di mana 331,533 telah selesai dilaksanakan manakala 55,225 premis sedang dalam pelaksanaan,” katanya.
Mohd Azlan (PH-Tualang Sekah) berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2024 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Beliau berkata fasa pertama pelaksanaan Point of Presence (PoP) menerusi KKD bagi penyediaan hab infrastruktur gentian optik luar bandar di kawasan berhampiran sekolah dan kawasan perindustrian telah selesai melibatkan 55 lokasi seluruh negeri.
“Fasa kedua sedang dalam peringkat pelaksanaan meliputi 510 lokasi,“ katanya.
Sementara itu, beliau berkata Telekom Malaysia (TM) juga berusaha menyediakan liputan Internet berkelajuan tinggi dan menambah baik liputan telekomunikasi TM di Perak.
Menurutnya sehingga bulan lepas, kesemua 83 ibu sawat TM di Perak telah pun dinaik taraf dan tersedia kepada perkhidmatan Internet jalur lebar tetap, Unifi.
Beliau berkata TM telah menyediakan lebih 480 ribu port di seluruh negeri yang membolehkan perkhidmatan Unifi diberi kepada lebih 690 ribu premis kediaman dan perniagaan.
“Sehingga November 2023 langganan bagi penggunaan Internet jalur lebar Unifi telah mencecah lebih daripada 60 peratus jumlah port... terdapat lebih 180 ribu port atau sambungan yang masih boleh ditawarkan kepada para pelanggan baharu,“ katanya. - Bernama