KANGAR: Seorang pemandu jentera dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu seberat 365 kilogram (kg), bulan lepas.

Mohd Mudzakkir Zainal Abidin, 40, mengangguk faham pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nurshahida Abdul Rahim, namun tiada pengakuan direkodkan daripadanya kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan itu, Mohd Mudzakkir bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa mengedar dadah berbahaya itu di kawasan sebuah rumah di Kampung Belat Batu, Beseri dekat Padang Besar, kira-kira 8.45 malam, 31 Mei lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sehingga mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung dikenakan sebatan tidak kurang 12 sebatan.

Mahkamah menetapkan 22 Sept depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Ruqayyah Tengku Shahrom manakala Mohd Mudzakkir tidak diwakili peguam.