KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki berusia 59 tahun disyaki sebagai pemandu van sekolah yang melakukan tindakan berbahaya terhadap pelajar.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof mengesahkan penahanan itu dibuat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun dan didenda tidak kurang daripada lima ribu ringgit dan tidak lebih dari lima belas ribu ringgit,“ katanya dalam kenyataan rasmi.
Video viral berdurasi 33 saat itu dikesan pihak polis pada pukul 5.53 petang semalam menunjukkan van sedang bergerak sambil menurunkan dan mengambil dua pelajar sekolah.
Naazron menegaskan tindakan terbabit boleh mendatangkan bahaya kepada pelajar dan pengguna jalan raya yang lain.
Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk menghubungi balai polis terdekat.
Mereka juga boleh berhubung terus dengan pegawai penyiasat Insp. Ahmad Zahrein di talian 017-3818422 untuk bantuan lanjut. - Bernama