KUALA LUMPUR: Pembentukan Modal Tetap Kasar (PMTK) Malaysia mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 12 peratus kepada RM352.3 bilion pada harga malar bagi 2024, berbanding RM314.5 bilion pada 2023.
Pertumbuhan ini didorong oleh aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh serta pelaburan domestik yang berterusan.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, semua sektor menunjukkan pembentukan modal lebih kukuh pada 2024, terutamanya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan.
“Pelaburan dalam aset tetap yang tinggi bagi sektor perkhidmatan didorong oleh subsektor pengangkutan dan penyimpanan, maklumat dan komunikasi serta kewangan, insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan masing-masing meningkat 16.4 peratus serta 13.6 peratus,“ katanya.
Sektor pembuatan pula berkembang 11.8 peratus, didorong oleh subsektor produk elektrik, elektronik dan optikal serta peralatan pengangkutan yang mencatatkan pertumbuhan 15.6 peratus.
Subsektor makanan, minuman dan tembakau juga meningkat 10.1 peratus, manakala perlombongan dan pengkuarian tumbuh 2.4 peratus.
Struktur pembentukan modal mengikut jenis aset kekal stabil, dengan struktur kekal sebagai komponen terbesar (51.5 peratus).
Peralatan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) serta jentera dan peralatan lain turut mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu 14.8 peratus.
PMTK sektor swasta menyumbang 77.4 peratus, berkembang 12.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Sektor awam pula mencatatkan pertumbuhan 11.1 peratus. Aktiviti perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai pemacu utama, menyumbang 65.7 peratus dan 22.6 peratus masing-masing. - Bernama