JOHOR BAHRU: Pembinaan surau baharu di Pasar Borong Pandan di sini, yang dibiayai Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, bakal memanfaatkan kira-kira 4,000 penduduk sekitar.
Yang Dipertua Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru Abdullah Md Yusof berkata pihaknya, menzahirkan penghargaan dan kesyukuran serta menjunjung kasih atas keprihatinan baginda, yang memperkenan untuk membiayai pembinaan surau tersebut.
Beliau berkata pasar tersebut mempunyai sebuah surau sementara sejak 2011, yang mana ia hanya mampu memuatkan seramai 100 orang jemaah pada satu-satu masa.
“Pasar ini mempunyai kira-kira 150 peniaga dan 250 pekerja, ini tidak termasuk jumlah pengunjung yang ramai serta penduduk sekitar, akan turut mendapat manfaat daripada pembinaan surau ini.
“Pembinaan surau baharu ini akan dipelihara dan memberi kemudahan kepada umat Islam di sini untuk menunaikan solat, serta melakukan program keagamaan dengan selesa. Semoga dengan terbinanya surau ini, berkat pembiayaan baginda, ia memberi manfaat kepada umat Islam melakukan amal ibadat dan mendapat pahala di dunia dan akhirat oleh Allah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pasar Borong Pandan, di sini malam tadi.
Rabu lepas Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim dilapor sebagai berkata baginda berkenan untuk membiayai pembinaan surau itu, dengan reka bentuk yang sama seperti Masjid Kampung Mahmoodiah, di sini.
“Baginda berkenan tapak surau yang sedia dibuat pengambilan balik tanah oleh Pejabat Tanah Johor Bahru.
“Kemudian akan dibina surau baharu dengan pembiayaan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, sekali gus dapat memberi keselesaan kepada para jemaah,” katanya.–Bernama