• 2025-07-17 10:34 AM

DUISBURG: Upacara pembukaan Sukan Universiti Dunia (WUG) 2025 Rhine-Ruhr berlangsung penuh makna di Schauinsland-Reisen-Arena dengan gabungan elemen kebudayaan, kemanusiaan dan muzik. Acara ini mengetengahkan perpaduan dan harapan untuk masa depan yang lebih harmoni melalui kekuatan sukan.

Majlis pembukaan yang berlangsung selama tiga jam itu menampilkan persembahan muzik dinamik dan tarian kontemporari, menggabungkan seni moden dengan warisan budaya. Lebih 1,000 atlet dan pegawai dari 150 negara termasuk Malaysia berarak masuk ke stadium dengan penuh semangat.

Kontinjen Malaysia tampil bergaya dalam busana tradisional berwarna biru. Atlet lelaki mengenakan baju Melayu lengkap bersamping dan tengkolok, manakala atlet wanita anggun dalam baju kurung yang memancarkan kelembutan wanita Timur.

Kemuncak acara berlaku apabila Menteri Buruh dan Hal Ehwal Sosial Jerman, Barbel Bas, mengisytiharkan kejohanan ke-32 itu dibuka secara rasmi. Bendera Persekutuan Sukan Universiti Antarabangsa (FISU) dinaikkan, diikuti lafaz ikrar atlet dan penyalaan obor rasmi oleh bekas atlet Jerman.

Sebanyak 19 jenis sukan dipertandingkan dalam WUG 2025 dengan 235 pingat diperebutkan. Malaysia menyasarkan tujuh pingat dalam enam acara iaitu gimnastik, badminton, memanah, olahraga, renang dan taekwondo, melibatkan 64 atlet.

Kejohanan ini akan berlangsung sehingga 27 Julai, menawarkan saingan sengit dan semangat kesukanan yang tinggi - BERNAMA