• 2025-06-19 03:14 PM

SEREMBAN: Seorang pempengaruh media sosial menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan menceroboh rumah seorang selebriti, bulan lepas.

Nurul Nur Ariani Muhammad Zahar, 41, menukar pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Majistret Saiful Sayoti.

Wanita itu didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan sebuah rumah di Kampung Chelet, Nilai pada 5 petang 7 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 19 Mei, wanita itu mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut, dan mahkamah menetapkan hari ini untuk fakta kes dan hukuman.

Majistret Saiful menetapkan 22 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP L.Rathna manakala pempengaruh itu diwakili peguam Mohd Anif Rafih dan Amer Haiqal Mohd Yusof.