• 2025-07-18 07:59 PM

CAMERON HIGHLANDS: Seorang pemuda berusia 19 tahun ditahan polis selepas disyaki menanam mayat bayi lelaki yang baru dua hari dilahirkan di kawasan berbukit berhampiran rumahnya di Kampung Melayu Desa Kayangan, Brinchang.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Supt Azri Ramli, berkata mayat bayi itu ditemui oleh bapa suspek kira-kira pukul 10 pagi semasa melalui kawasan tangki air di belakang rumah mereka.

“Bapa suspek terlihat tanah yang seperti baru dikorek sebelum ternampak kain putih membaluti bayi itu, lalu menghubungi pihak polis,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di sebuah inap desa mengaku menanam bayi tersebut, yang dilahirkan oleh kakak tirinya berusia 21 tahun.

“Suspek turut menunjukkan lokasi dia menanam uri bersama bayi itu. Polis menahannya kira-kira pukul 5.30 petang dan merampas beberapa peralatan seperti cangkul dan penyodok,” jelas Azri.

Suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan kematian bayi. - Bernama