BANGI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited memperkukuh pendidikan dan latihan pegawai penguat kuasa melalui kerjasama strategik bersama Nottingham Trent University (NTU) United Kingdom, dalam usaha melahirkan pegawai yang berintegriti tinggi dan bersedia mendepani cabaran rasuah dalam era digital.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata kolaborasi akademik yang terjalin sejak 2017 itu telah melahirkan graduan bukan sahaja cemerlang secara intelektual, malah dilengkapkan dengan nilai moral dan etika yang tinggi.

“Latihan asas dan pengajian akademik ini bukan sekadar menuntut kecemerlangan semata-mata, malah turut menekankan nilai integriti, amanah dan etika yang menjadi teras perjuangan kita dalam memerangi rasuah habis-habisan.

“Kejayaan graduan hari ini hanyalah permulaan kepada cabaran lebih besar dalam dunia pekerjaan sebenar SPRM, khususnya apabila dunia semakin berubah dan ditandai oleh ledakan teknologi, kecerdasan buatan dan kerumitan sosial yang menuntut bukan sahaja pengetahuan, tetapi kebijaksanaan moral dan kekuatan prinsip,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Program Penguatkuasaan Undang-Undang Bertaraf Antarabangsa SPRM-NTU 2025 di Pusat Konvensyen Avenue Bangi, di sini, hari ini.

Majlis konvokesyen itu turut dihadiri Dekan Fakulti Sains Sosial NTU United Kingdom, Prof Daragh McDermott dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya.

Azam turut menyeru para graduan agar tidak hanya berkhidmat secara profesional, tetapi menjadi pemimpin berprinsip dan ejen perubahan dalam masyarakat.

“Tegas saya nyatakan, tiada kompromi terhadap mana-mana pelaku rasuah, termasuk dalam kalangan anggota SPRM sendiri. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersalah dan dihadapkan ke mahkamah.

“Jadilah wira yang tidak didendangkan. Bekerjalah dalam diam, namun berpegang teguh kepada prinsip. Dalam dunia yang sarat dengan kepalsuan, nilai integriti adalah kekayaan paling berharga yang mesti dipelihara,“ katanya.

Beliau menegaskan, ujian sebenar terhadap integriti seseorang bukan di atas kertas semata-mata, tetapi ketika berhadapan dengan kuasa, peluang atau dilema moral.

Dalam pada itu, Azam turut mengumumkan Memorandum Persefahaman (MoU) sedia ada antara SPRM dan NTU yang akan tamat pada 31 Sept 2025 dijangka diperbaharui dengan peluasan inisiatif kerjasama dalam fasa seterusnya.

“Kami yakin kerjasama ini akan terus mempertingkatkan relevansi dan kualiti program dalam menangani cabaran rasuah di peringkat domestik mahupun global,” katanya.

Program tersebut menawarkan dua laluan akademik, iaitu Diploma Pascasiswazah Penguatkuasaan Undang-Undang Antarabangsa: Kepimpinan Antirasuah (Tahap 7) dan Diploma Profesional Penguatkuasaan Undang-Undang Antarabangsa: Pengajian Antirasuah (Tahap 5). Kedua-dua program ini dirangka khusus bagi membekalkan pegawai dengan pengetahuan dalam bidang perundangan, psikologi jenayah, forensik data serta aplikasi kecerdasan buatan.

Seramai 250 graduan berjaya menamatkan program itu, melibatkan 74 graduan Tahap 7 dan 176 graduan Tahap 5, kesemuanya kini telah dilantik sebagai pegawai baharu SPRM.