KUALA LUMPUR: Seorang penganggur dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret Ampang hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh dan memecahkan pintu kaca serta tombol pintu rumah didiami bekas teman wanitanya kerana berlaku salah faham antara mereka.

Majistret Amalina Basirah Md Top menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Imran Othman, 32, dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 25 Sept.

Lelaki itu didakwa menceroboh dengan memasuki rumah milik bapa kepada bekas teman wanitanya di Taman Melawati, pada 1.30 tengah hari, 18 Sept lepas, mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Mohd Imran juga didakwa melakukan khianat dengan memecahkan pintu kaca serta tombol pintu rumah wanita itu mengakibatkan kerugian RM41,580 di lokasi dan masa sama, mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, tertuduh didakwa berkelakuan tidak senonoh terhadap wanita berumur 24 tahun itu dengan mengeluarkan ugutan terhadapnya mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan yang dilakukan tertuduh menyebabkan mangsa mengalami trauma selain jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah besar.

Peguam Nadia Irwanita Mohamed Rosli daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan memohon hukuman ringan atas alasan pengakuan tertuduh telah menjimatkan masa serta kos semua pihak selain tertuduh telah insaf dan kejadian itu berlaku kerana salah faham dengan bekas teman wanitanya.

Open Two Websites with Image

Clickable Image