the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, February 6, 2026
21.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Penganjur belum serah kembali notis perhimpunan di ibu negara – Polis

KUALA LUMPUR: Polis masih belum menerima kembali notis pemberitahuan daripada penganjur perhimpunan yang dirancang diadakan di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara dan Dataran Merdeka esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata penganjur sudah menghantar notis terbabit, namun dikembalikan kerana tidak disertakan salinan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan.

“Notis sebelum ini dihantar penganjur memang mengikut tempoh ditetapkan, tetapi kita (polis) minta dilengkapkan dan beri tempoh notis dikembalikan dengan kebenaran pemilik tempat.

“Hingga hari ini, kita belum menerima kembali notis berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Berhubung dakwaan penganjur mengenai lokasi perhimpunan itu tidak memerlukan kebenaran pemilik, Rusdi berkata dalam undang-undang menjelaskan setiap penganjuran sebarang perhimpunan memerlukan kebenaran pemilik tapak.

Beliau berkata lokasi perhimpunan, iaitu di Dataran Merdeka dimiliki oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memerlukan kebenaran pihak terbabit.

“Memang ada ditetapkan dua lokasi yang dibenarkan untuk berhimpun, iaitu Dataran Merdeka dan Padang Merbok, namun perlu mendapat kebenaran kerana ia juga membabitkan kos yang perlu ditanggung penganjur sekiranya berlaku kerosakan.

“Kita memberikan kebebasan seluas-luasnya (untuk berhimpun), namun ia bukan hak mutlak kerana perlu melalui proses undang-undang selain mematuhi peraturan antaranya tidak boleh bawa kanak-kanak dan sepanduk yang tertera perkataan bukan-bukan,” katanya.

Rusdi berkata pihaknya akan melakukan pemantauan di laman sosial berhubung perhimpunan itu selain menempatkan 400 pegawai dan anggota bagi penugasan ketika penganjuran perhimpunan itu esok, dan setakat ini tiada penutupan jalan akan dilakukan, namun ia bergantung pada keadaan semasa.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman berkata notis berkenaan diserahkan kembali kepada penganjur pada 17 Jan lepas setelah semakan mendapati notis itu tidak lengkap kerana tiada salinan persetujuan daripada pemilik tempat perhimpunan.

Beliau berkata penganjur diminta untuk memenuhi peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Terdahulu, tular di laman sosial poster “Himpunan Rakyat Benci Rasuah” yang mengajak orang ramai berkumpul di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara sebelum berarak ke Dataran Merdeka pada 2.30 petang esok bagi menuntut keadilan dan menolak kezaliman.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories