ALOR SETAR: Seorang pengawal syarikat kawalan keselamatan dijatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan mencuri wang tunai berjumlah RM200,000 daripada majikannya minggu lepas.
Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor turut menetapkan hukuman penjara setahun lagi terhadap Muhd Fairul Fizree Abdul Hamid, 38, sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan.
Semalam di mahkamah sama, tertuduh yang didakwa bersama dua rakan sekerjanya, mengaku bersalah atas tuduhan mencuri wang tunai berjumlah RM200,000 yang dalam milikan majikan mereka, iaitu syarikat Kawal Wiramas Sdn Bhd di sekitar lampu isyarat Taman Kristal, di sini kira-kira pukul 10.34 pagi pada 19 Nov lepas.
Namun, hukuman terhadap Muhd Fairul Fizree dijatuhkan pada hari ini selepas barang kes tidak dapat dikemukakan di mahkamah semalam.
Dua tertuduh lain, iaitu Mohamad Zul Hilmi Ahmad, 37, dan Muhammad Fadzli Yaakub, 28, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terbabit dan mohon dibicarakan.
Ketiga-tiga mereka didakwa di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Terdahulu, peguam yang mewakili Muhd Fairul Fizree, Mohd Khairul Afizuddin Ramli memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan memandangkan tertuduh yang belum berkahwin bertanggungjawab menjaga kakaknya yang merupakan pesakit buah pinggang.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya R. Jayasri memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap lelaki itu sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai.