Your Title

IPOH: Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki pisau pada perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Perak, Khamis lepas.

Azrul Faiz Mohd Rosli, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.

Dia didakwa memiliki sebilah pisau di dalam beg pinggang berwarna hitam di pintu masuk B Stadium Indera Mulia di sini pada kira-kira 8.45 malam, Khamis lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Aqilah Syaza Ariffin menawarkan jaminan RM6,000 manakala peguam M. Kathan memohon anak guamnya diberikan jaminan rendah atas alasan tertuduh hanya berpendapatan RM1,800 dan perlu menanggung isteri yang hamil dan tiga anak serta kedua ibu bapanya.

Siti Nora kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Dis sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh sebelum ini ditahan pada perlawanan antara JDT dan Perak FC yang berkesudahan 4-1 dengan kawalan ketat polis.-Bernama