KUALA LUMPUR: Pelaksanaan pengecualian visa bersama antara Malaysia dan China dilihat sebagai langkah positif yang mengukuhkan hubungan dua hala serta memudahkan pertukaran pelancong dan pelabur.
Presiden Persatuan Usahawan China di Malaysia Datuk Keith Li menyatakan bahawa langkah ini akan merancakkan lagi hubungan ekonomi dan budaya antara kedua-dua negara.
“Ia sememangnya langkah positif yang mengukuhkan hubungan erat antara dua negara,“ kata Li, yang juga mengendalikan agensi pelancongan antara China dan Malaysia.
Menurut Malaysia China Insight, sebuah majalah dalam talian dwibahasa, ketibaan pelancong dari China ke Malaysia meningkat lebih satu pertiga tahun ini, melebihi angka sebelum pandemik.
Seorang pelancong dari China, Hong Na, berkata sebelum ini proses mendapatkan visa memerlukan perancangan berbulan-bulan.
“Dulu, nak dapatkan visa kena rancang berbulan-bulan, memang leceh. Sekarang, kami boleh terus kemas beg dan pergi pada bila-bila masa,“ katanya.
Pelancong lain, Echo Liu, turut bersetuju bahawa pengecualian visa memudahkan perjalanannya ke Malaysia.
“Ini adalah perjalanan pertama kami ke luar negara. Kami pada mulanya bimbang tentang visa dan halangan bahasa, tetapi semuanya berjalan lancar,“ katanya.
Kedutaan China di Malaysia mengumumkan bahawa rakyat Malaysia kini layak menikmati kemasukan tanpa visa ke China untuk lawatan jangka pendek sehingga 90 hari dalam tempoh 180 hari, berkuat kuasa 17 Julai.
Di bawah perjanjian ini, pemegang pasport Malaysia dan China boleh masuk, keluar, atau transit di negara masing-masing tanpa visa dan tinggal sehingga 30 hari bagi setiap lawatan.
Perjanjian ini diperbaharui semasa lawatan Presiden China Xi Jinping ke Kuala Lumpur pada April lalu. - Bernama