KUALA LUMPUR: Pengguna akan menerima bekalan air secara berperingkat bermula 3 pagi esok, selepas kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) siap pada 7 malam hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan peratusan pemulihan bekalan air di kawasan terjejas dijangka mencapai sekitar 20 peratus pada 3 petang esok diikuti 90 peratus pada 3 pagi, Jumaat.

“Waktu pemulihan penuh bagi kawasan terlibat adalah dijangka pada 12 tengah hari, 7 Jun (Jumaat).

“Untuk makluman tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan bekalan air,” menurut hantaran itu.

Air Selangor memaklumkan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian LRA SSP1 telah bermula pada 9 pagi hari ini mengikut jadual.

Air Selangor dalam kenyataan bulan lepas memaklumkan tujuh kawasan di Lembah Klang iaitu Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Selangor, Klang, Kuala Selangor, Petaling dan Shah Alam akan mengalami gangguan bekalan air berjadual sementara mulai hari ini hingga 7 Jun susulan kerja-kerja penyenggaraan dan penggantian aset itu.

Menurut Air Selangor pihaknya akan menggerakkan lori-lori tangki air ke premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian, selain bantuan bekalan air alternatif menerusi 13 Pusat Khidmat Setempat (PKS) turut disediakan untuk kemudahan pengguna.

PKS yang disenaraikan melibatkan Masjid Wilayah dan Jalan Jejawi, Bangsar di Kuala Lumpur; Seksyen 7, Seksyen 17, Subang Bestari dan Taman Tun Dr Ismail (Petaling); Bandar Parkland, Masjid Kampung Perepat dan Persiaran Raja Muda (Klang); AU3 Keramat dan Seksyen 2 Wang Maju (Gombak) serta Dataran KFC Puncak Alam dan Stadium Tertutup Kuala Selangor (Kuala Selangor).

Bagi pelanggan komersial, bekalan air terawat boleh dibeli di mana-mana kaunter khidmat pelanggan di seluruh wilayah Air Selangor.

“Bagi tujuan itu pelanggan komersial boleh menggunakan lori tangki air masing-masing di empat stesen pengisian air yang akan dibuka di Braemar Estate (wilayah Hulu Langat), Taman Gemilang Dengkil dan Pekan Salak (wilayah Sepang) serta Taman Banting Baru (wilayah Kuala Langat),” menurut Air Selangor.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat berhubung gangguan bekalan air berjadual dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi https://waterupdates.airselangor.com/ atau aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300 atau layari https://www.airselangor.com.