KUALA LUMPUR: Kerajaan secara dasar bersetuju meluaskan kelayakan subsidi petrol RON95 kepada pengusaha bot penumpang awam yang menggunakan bahan bakar itu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata keputusan itu dibuat selepas mesyuarat Jemaah Menteri kelmaris.
Beliau menyatakan kelayakan itu meliputi sama ada melalui inisiatif BUDI MADANI RON95 atau Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi tertakluk kepada mekanisme yang akan dimaklumkan kemudian.
“Kerajaan prihatin dengan keperluan penduduk yang bergantung kepada bot sebagai pengangkutan utama khususnya di kawasan pulau dan sungai di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Armizan menekankan kelayakan ini tertakluk kepada bot yang didaftarkan atas nama pemilik warganegara atau syarikat berdaftar.
Kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi kerajaan negeri untuk mengenal pasti pemilik bot berdaftar.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2025 bersama Persatuan Pereka Bumiputera Malaysia sempena My Gaya Month.
Sebagai langkah interim sementara menunggu mekanisme subsidi dimuktamadkan, pengusaha bot penumpang awam dibenarkan membuat tuntutan bayaran balik tunai.
Mereka perlu mengemukakan resit rasmi pembelian petrol untuk proses tuntutan tersebut.
Jawatankuasa Rayuan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi turut diaktifkan semula dengan peluasan skop meliputi SKPS.
Jawatankuasa ini akan meneliti isu berbangkit termasuk tuntutan pengusaha bot yang belum diliputi.
“Melalui platform ini, pengusaha boleh mengemukakan rayuan dan kerajaan akan merumus mekanisme terbaik,” ujarnya.
Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menyatakan kerajaan terbuka meluaskan BUDI95 kepada pengusaha bot penumpang kecil.
Perkhidmatan bot amat penting kepada komuniti setempat terutama di kawasan luar bandar dan pulau di Sabah dan Sarawak. – Bernama