KUCHING: Pengusaha premis makanan tidak berlesen di bandar raya ini diberi tempoh sehingga Mac tahun depan bagi mendapatkan lesen dari Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).
Datuk Bandar Kuching Utara Hilmy Othman berkata ketika ini terdapat 166 pengusaha premis makanan tidak berlesen yang sudah dikenal pasti dan disenaraikan DBKU.
“Kami memberikan mereka masa yang mencukupi, menjelang Mac 2024 kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang masih tidak berlesen,” katanya selepas merasmikan Seminar Hari Tandas Sedunia 2023 anjuran DBKU di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.
Hilmy berkata pengusaha terbabit perlu berlesen dengan DBKU, supaya pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Kesihatan tidak menghadapi kesukaran menguatkuasakan peraturan kesihatan awam di premis perniagaan mereka.
Beliau berkata ini termasuklah yang berkaitan isu kebersihan tandas awam, kebersihan penyediaan makanan dan juga larangan merokok di tempat awam.
Hilmy berkata setakat ini, keseluruhannya sebanyak 386 pengusaha premis makanan yang sudah berlesen dengan DBKU dan pihaknya sentiasa memastikan tandas awam di premis terbabit di tahap kebersihan terbaik.
Sementara itu beliau berkata dalam kawasan DBKU juga terdapat 13 tandas awam yang cantik dan indah selain 26 tandas di stesen minyak, rumah ibadat (62), pusat beli belah (16), kawasan pelancongan (3), pejabat kerajaan (33), institusi pendidikan dan sekolah (66) serta hotel-hotel.
“Tandas awam yang kesemua saya nyatakan tadi, sekarang ditahap (kebersihan) yang memuaskan,” tambahnya dan menyeru orang awam bekerjasama memastikan kebersihan tandas terbabit.
Disamping itu, hasil pemeriksaan 11 kali terhadap tandas awam dalam kawasan DBKU sehingga November tahun ini, pihaknya telah memberi anugerah lima bintang kepada 25 unit penyedia tandas itu, empat bintang kepada 70 unit dan tiga bintang kepada 130 unit.–Bernama