SHAH ALAM: Kejayaan Selangor dalam menerajui sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sebanyak 25.9 peratus, bukti keyakinan komuniti perniagaan serta rakyat terhadap pentadbiran negeri yang selari dengan kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata berdasarkan kepada prestasi perkembangan KDNK negeri, ekonomi Selangor telah berkembang sebanyak RM103.9 bilion sejak tahun 2017, bersamaan dengan peningkatan sebanyak 25.59 peratus selepas pentadbirannya mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri pada 2018.

Beliau berkata kejayaan itu dan pengiktirafan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), perlu dijadikan pemangkin untuk meningkatkan lagi kedudukan ekonomi negeri, agar dapat mencapai pertumbuhan yang mampan.

“Ini termasuk meningkatkan prestasi ekonomi di peringkat daerah, prestasi perkhidmatan pihak berkuasa tempatan, mencari solusi mampan kepada cabaran perubahan iklim, menjamin kualiti infrastruktur sentiasa cekap, serta rejuvenasi bandar matang, supaya negeri ini bukan sahaja maju tetapi berdaya huni.

“Hanya dengan pendekatan ini dapat kita terus meyakinkan pelabur tempatan dan luar negara bahawa negeri Selangor mampu terus menjadi negeri pelaburan pilihan utama di Asia Tenggara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amirudin dalam kenyataan sama turut merakamkan penghargaan kepada barisan pentadbiran, komuniti pelabur dan tenaga kerja di Selangor, yang telah menyumbang kepada prestasi membanggakan itu.

Terdahulu, Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mengumumkan Selangor mencatatkan pertumbuhan ekonomi tertinggi pada tahun 2023, dengan peningkatan sebanyak 5.4 peratus berbanding tahun 2022, mengatasi pertumbuhan di peringkat nasional.

Mohd Uzir berkata Selangor merupakan satu daripada empat negeri yang berjaya melepasi pertumbuhan ekonomi paras nasional, diikuti Pahang, Johor, dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.