• 2023-10-25 10:54 AM

KOTA KINABALU: Langkah menjenamakan semula istilah ‘perintah berkurung’ di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta mengecilkan kawasan terbabit memperlihatkan bahawa tahap keselamatan di situ semakin kukuh.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Victor Sanjos berkata kepada Bernama, langkah itu penting bagi memberikan keyakinan terutama kepada komuniti maritim, pelancong dan pelabur bahawa ESSZone selamat untuk menjalankan sebarang aktiviti.

Beliau berkata ia juga menunjukkan bahawa usaha meningkatkan tahap keselamatan di ESSZone dengan pelaksanaan perintah berkurung sejak 16 Julai 2014, mendatangkan kesan positif kepada jaminan keselamatan terutama untuk komuniti di kawasan tersebut.

“Pihak media juga saya percaya mampu memainkan peranan bagi menimbulkan keyakinan kepada pihak berkepentingan supaya ESSZone ini dapat dikunjungi kerana ia kaya dengan khazanah alam semula jadi, kalau pelancong datang berduyun-duyun sudah tentu mereka datang kembali membawa pelaburan.

“Kerajaan Sabah mahu jadikan pantai timur ini kawasan pelaburan terutama di POIC (Kluster Industri Minyak Sawit) Lahad Datu, saya percaya langkah ini akan kikis persepsi negatif terutama negara luar. Diharap negara luar juga keluarkan ESSZone daripada senarai kawasan tidak selamat,” katanya.

Pada 16 Okt lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata Kementerian Dalam Negeri, Majlis Keselamatan Negara serta kerajaan Sabah bersetuju untuk menjenamakan semula perintah itu dan mengeluarkan Tawau daripada pelaksanaannya.

Justeru, PKP ESSZone kini hanya melibatkan perairan tiga batu nautika ke perairan sempadan antarabangsa di daerah Sandakan, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Beluran dan Kinabatangan, bermula 6 petang hingga 6 pagi, berkuat kuasa 17 Okt lepas.

ESSZone dilancarkan pada 25 Mac 2013 selepas Tragedi Lahad Datu yang menyaksikan pencerobohan pengganas bersenjata Sulu memasuki perairan negara secara berperingkat di Felda Sahabat, Lahad Datu pada Februari tahun sama.

Pencerobohan itu membawa kepada pertempuran pada 1 Mac di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang mengorbankan nyawa 10 anggota keselamatan negara dan 68 pengganas Sulu. Konflik itu diisytiharkan tamat pada 10 April 2013.

Victor berkata Tawau dikeluarkan daripada perintah itu ekoran jaminan keselamatan yang semakin kukuh sehingga tiada kes penculikan serta ancaman nyata, selain tiada elemen militan atau jenayah rentas sempadan seperti Kumpulan Abu Sayyaf (ASG).

“Namun kita harus teruskan usaha ini (jaga keselamatan) bergabung tenaga dengan komuniti juga perisikan dalam serta luar negara, bagi mengekang aktiviti (mengancam keselamatan) ini dan seterusnya kawasan lain kita boleh kaji, kemudian keluarkan daripada PKP tersebut,” katanya.

Sementara itu di TAWAU, Ketua Kampung Batu Payung Amat Salleh berkata langkah itu wajar kerana perairan Tawau tidak terdedah kepada elemen pencerobohan berbanding Semporna, Sandakan, Kunak serta Lahad Datu yang begitu dekat dengan perairan Sulu.

“Tawau ini berdepan masalah penyusupan keluar masuk pendatang haram atau penyeludupan namun itu berkurang sejak perintah itu dilaksanakan, jadi perairan Tawau ini masih memerlukan rondaan keselamatan daripada ESSCom, Angkatan Tentera Malaysia serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia,” katanya.

Menurut Amat, penduduk di kampung itu serta kampung sekitar turut mengadakan rondaan setiap malam melibatkan komuniti rukun tetangga, Skim Rondaan Sukarela (SRS) serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Pengarah Urusan Dwijaya Fisheries Sdn Bhd Naomi Cole berkata perairan Tawau wajar dikeluarkan daripada perintah itu kerana kes penculikan untuk wang tebusan (KFR) tidak pernah berlaku di daerah itu, tidak seperti di perairan Semporna, Tambisan dan Sandakan .

“Saya punya kapal menangkap ikan di kawasan ini (Semporna), pengalaman saya apabila pekerja kapal saya dua kali pernah diculik KFR pada tahun 2016 serta 2018, saya turut trauma. Maka perintah itu wajar diteruskan di kawasan tersebut,“ katanya.

Pengerusi Persatuan Kampung Nelayan Felda Umas, Abd Syukur Otoh pula mahu pasukan keselamatan kekal memperhebat kawalan serta rondaan meskipun perintah berkurung di perairan Tawau ditamatkan kerana aktiviti haram seperti penyusupan pendatang asing dan penyeludupan perlu dibanteras tanpa kompromi.

“Masalah kedatangan pendatang haram yang mengaut keuntungan hasil laut dari perairan Tawau juga perlu ditangani membabitkan kerjasama penguat kuasa Jabatan Perikanan termasuk Polis Diraja Malaysia,“ katanya.

Dalam pada itu di LAHAD DATU Pengusaha Pulau Buta Eco Tourism Jessica Reyes berkata langkah itu mampu memberi tanggapan positif kepada pelancong, sekali gus membantu industri pelancongan di kawasan tersebut.

“Penggunaan (istilah) ‘perintah berkurung’ seolah-olah memberi gambaran kepada orang luar kawasan itu sangat berbahaya walhal tidak. Sabah selamat untuk dikunjungi, kawasan perairan kita sentiasa ada rondaan daripada pasukan keselamatan dan perairan kita sentiasa dalam radar kawalan pasukan keselamatan,“ katanya. - Bernama