Your Title

KUANTAN: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas motosikal ditunggang mereka melanggar seekor kerbau yang melintas jalan berhampiran sebuah ladang di Felda Bukit Sagu di sini, pagi ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata dalam kejadian sekitar 4.30 pagi itu, Muhammad Tangtawi Mohamad Ali, 21, disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan.

Beliau berkata seorang lagi penunggang motosikal berusia 20 tahun mengalami kecederaan pada bahagian muka telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan untuk rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati ketika mangsa dari arah Bukit Goh menghala ke Bukit Sagu, seekor kerbau tiba-tiba melintas jalan mengakibatkan kedua-dua lelaki berkenaan hilang kawalan dan melanggar haiwan itu,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Mohd Zahari berkata pihaknya sedang mengesan saksi untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.