Your Title

BATU PAHAT: Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut setelah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Batu 6, Jalan Kangkar Baru Paloh, Yong Peng, kira-kira pukul 10.15 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata kejadian berkenaan berlaku apabila motosikal yang ditunggang mangsa bersama beberapa motosikal berkuasa tinggi yang lain dalam perjalanan dari Segamat menuju ke Kluang.

Beliau berkata ketika tiba di tempat kejadian, mangsa telah bertembung dengan sebuah kereta dari arah bertentangan sebelum dilanggar motosikal rakannya yang berada di belakangnya dan terus terbabas.

“Motosikal ketiga yang juga rakan konvoi mangsa turut terbabas setelah terlanggar serpihan-serpihan yang ada di atas jalan kesan perlanggaran pertama dan kedua.

“Akibat kemalangan yang berlaku itu, mangsa pertama merupakan seorang lelaki berumur 64 tahun, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan di leher dan organ dalaman,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahrulanuar berkata mangsa yang maut beralamat di Pasir Gudang manakala penunggang dan pembonceng motosikal kedua iaitu lelaki berusia 58 tahun dan isterinya, 56, mengalami kecederaan.

Beliau berkata turut mengalami kecederaan ialah penunggang motosikal ketiga iaitu seorang lelaki berusia 29 tahun sementara pemandu kereta yang terbabit kemalangan cedera ringan di beberapa bahagian badannya.

“Kemalangan ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu atau membahayakan.

“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini agar dapat tampil membantu siasatan polis.

“Maklumat boleh disalurkan ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor 07-2212999 atau Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat menerusi talian 07-4343999,” katanya.