SEPANG: Tahap pematuhan peniaga dalam tempoh dua bulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel adalah baik, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hanya menerima 83 aduan awam berhubung isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan selepas penyasaran subsidi dilaksanakan menerusi Ops Kesan 2.0, yang dilaksanakan sejak 8 Jun hingga Ahad lepas.

Dalam tempoh itu, sebanyak 244 notis bertulis dikeluarkan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN di bawah Akta Kawalan Harga dan Pencatutan 2011 (AKHAP) dengan 10 kertas siasatan dibuka.

“Secara keseluruhannya, dalam tempoh dua bulan fasa awal pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, jumlah kes yang melibatkan isu pencatutan adalah kecil dan terkawal.

“Pada kesempatan ini, saya ingin rakam penghargaan kepada komuniti peniaga yang bertanggungjawab dan tidak lakukan pencatutan,” katanya selepas merasmikan 5 Petrol KLIA Pit Stop di sini hari ini.

Sementara itu, Armizan berkata dalam tempoh berkenaan juga, KPDN telah membuat pemeriksaan terhadap 24,666 premis perniagaan di seluruh negara.

“Selain menerima aduan, kita (KPDN) turut bertindak aktif melaksanakan pemeriksaan di pelbagai premis,” katanya.

Harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter bermula 10 Jun iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik.

Sementara itu, Armizan menggesa semua pengusaha stesen minyak agar mematuhi kerangka perundangan sedia ada antaranya Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Beliau berkata sebanyak 642 kes membabitkan kesalahan di stesen minyak direkodkan Bahagian Penguat Kuasa KPDN sejak 2022 hingga kini.