KUALA LUMPUR: DAP kekal dengan pendirian bersedia membantu kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan, sekiranya diminta berbuat demikian.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata DAP sentiasa mendukung semangat muafakat dan akan turun membantu kempen calon parti gabungan Kerajaan Perpaduan jika khidmat mereka diperlukan pada PRK berkenaan.

“Saya dah cakap kita ada semangat muafakat kalau ada jemputan kita pergi tapi kalau tidak ada keperluan kita tak pergi,” katanya pada sidang media Program Pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas Persiaran & Ekspres) di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak di sini hari ini.

Loke turut mengucapkan selamat maju jaya kepada calon BN yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.

Sebelum ini, Ketua Wanita DAP Teo Nie Ching dilaporkan berkata DAP akan membantu kempen BN pada PRK DUN Nenggiri sekiranya terdapat permintaan daripada mana-mana parti gabungan Kerajaan Perpaduan.

Teo berkata DAP tidak akan mengambil inisiatif sendiri menganjurkan sebarang program bagi tujuan berkempen kerana yang penting buat masa sekarang memastikan parti gabungan Kerajaan Perpaduan meraih kemenangan pada PRK Nenggiri.

Pada Isnin, media turut melaporkan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata keperluan DAP turun berkempen membantu calon BN pada PRK Nenggiri tidak terlalu mendesak, memandangkan majoriti pengundi di kawasan tersebut terdiri daripada kaum Melayu.

Beliau berkata DUN Nenggiri hanya mempunyai 36 pengundi Cina.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon dan pengundian awal PRK itu masing-masing pada 3 dan 13 Ogos manakala 17 Ogos sebagai hari mengundi.