JOHOR BAHRU: Ibu dan anak serta pasangan kekasih merupakan antara lima individu yang ditahan kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pengedaran dadah melibatkan rampasan bernilai RM1.85 juta.

Ketua Polis Johor CP M Kumar berkata tiga lelaki dan dua wanita berusia 28 tahun hingga 59 tahun itu diberkas dalam operasi khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri menerusi tiga serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini dan Seri Alam pada 31 Julai lepas.

Beliau berkata modus operandi sindiket itu adalah dengan menjadikan rumah teres sebagai stor simpanan dan tempat pembungkusan semula dadah, antaranya menggunakan peket minuman sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan.

“Sindiket pengedaran dadah ini dipercayai telah aktif beroperasi sejak bulan Jun lepas dan dipercayai dadah dibawa masuk dari luar negara.

“Hasil ujian saringan urin turut mendapati tiga suspek yang ditahan positif dadah jenis benzodiazepines serta dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini hari ini.

Kumar berkata 364 peket serbuk ekstasi, 95 gram peket ketamin, 3.45 gram syabu, 64 biji pil ekstasi dan 540 biji pil erimin 5 dirampas dalam serbuan itu.

Polis turut menyita empat kereta dan sebuah motosikal, wang tunai RM75,506 dan pelbagai mata wang asing serta barang kemas dan seutas jam tangan, bernilai keseluruhan lebih RM530,000.

Beliau berkata kesemua suspek direman tujuh hari bermula 31 Julai dan tempoh reman disambung tiga hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kumar dalam pada itu berkata JSJN Johor telah menahan 15,044 orang atas pelbagai kesalahan dadah dan merampas 3.18 tan bahan itu bernilai RM34.64 juta, sejak 1 Januari hingga 31 Julai lepas.

Beliau turut menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah kepada JSJN menerusi talian hotline 012-2087222.