• 2025-10-02 03:42 PM

JAKARTA: Pasukan penyelamat mengeluarkan lima mangsa terselamat daripada runtuhan sebuah bangunan pondok pengajian Islam berasrama di Jawa Timur, Indonesia ketika angka korban meningkat kepada lima orang, menurut pihak berkuasa.

Mereka ditemukan di Pondok Pesantren Al Khoziny di Buduran, Kabupaten Sidoarjo dalam operasi mencari dan menyelamat bersama yang diteruskan sehingga lewat Rabu malam, menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (BNPB).

Seorang daripada mereka berada dalam keadaan kritikal dan dikejarkan ke Hospital Sidoarjo bersama mangsa yang lain, kata jurucakap BNPB Abdul Muhari dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dua lagi mayat telah dikeluarkan dan dibawa ke Hospital Siti Hajar, sekali gus meningkatkan angka kematian kepada lima orang.

Abdul Muhari berkata data sementara menunjukkan 59 orang masih terperangkap, walaupun angka itu mungkin berubah kerana ada mangsa terselamat yang mungkin berada di luar kawasan ketika insiden itu berlaku dan masih belum melaporkan diri.

Pasukan penyelamat juga sedang mencari tanda-tanda kehidupan daripada seorang mangsa, tetapi memberi amaran bahawa struktur yang tidak stabil menjadikan penggunaan jentera berat agak berisiko, sambil menambah bahawa keluarga akan dirujuk sebelum menggunakan peralatan itu dalam usaha mencari dan menyelamat.

“Mangsa dipercayai berada di lokasi yang amat sukar, memerlukan strategi khas untuk memastikan keselamatan mangsa dan pasukan penyelamat,“ tambahnya.

Bangunan empat tingkat itu runtuh pada petang Isnin ketika kerja-kerja menuangkan konkrit di bahagian tingkat atas sedang dijalankan, menyebabkan pelajar dan pekerja tertimbus di bawah runtuhan dalam kejadian yang disifatkan pihak berkuasa berpunca daripada kegagalan struktur - Bernama