IPOH: Perak menyasarkan untuk mengatasi kutipan 35 pingat emas yang diraih pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak tahun lepas, menerusi penyertaan dalam SUKMA Selangor yang dijadual berlangsung pada Ogos tahun depan.
Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak Mazlan Mohamad berkata ketika ini, proses pemilihan atlet sedang giat dijalankan dan senarai penuh atlet yang akan membawa cabaran negeri dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya penghujung tahun ini.
“Sesi pemilihan sedang dijalankan, khususnya bagi sukan tempur seperti judo dan wusyu. Pemilihan turut melibatkan sukan-sukan lain yang akan disertai di SUKMA Selangor nanti.
“Setakat ini, kita hanya mempunyai senarai panjang atlet, dan mereka masih berpeluang bersaing sesama sendiri untuk menempatkan diri dalam pasukan dan seterusnya mewakili kontinjen SUKMA Perak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penutupan Kejohanan Bola Sepak Piala XCRIIM 2025 Peringkat Kebangsaan di Padang Taman Dr Seenivasagam, di sini, semalam.
Pada SUKMA Sarawak 2024, Perak menamatkan saingan di kedudukan ketujuh daripada 15 pasukan dengan kutipan 35 pingat emas, 38 perak dan 57 gangsa, rekod pencapaian terbaik kontinjen negeri itu dalam tempoh 15 tahun, khususnya bagi temasya yang berlangsung di luar Perak.
Sementara itu, Mazlan berkata pihaknya akan meneruskan pelaksanaan Program Belang Tarung Tiga Warna – Extended Versions 2.0 2025, yang memberi tumpuan kepada 28 jenis sukan utama yang akan dipertandingkan di SUKMA Selangor.
Menurut beliau program tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM500,000 dan akan memberi penekanan kepada pembangunan atlet dalam sukan bola sepak, futsal, akuatik, memanah, menembak, olahraga dan ragbi.
Dalam perkembangan lain, Mazlan menyambut baik langkah Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA) yang menggunakan khidmat majoriti pemain SUKMA negeri bagi memperkukuh pasukan untuk menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro, yang disifatkan mampu meningkatkan prestasi pemain ke tahap lebih tinggi.
“Penyertaan dalam perlawanan kompetitif seperti Liga A1 yang turut disertai pemain berpengalaman, termasuk bekas pemain Liga Super, diyakini dapat membantu pemain SUKMA Perak mempertingkat prestasi mereka.
“Dari sudut MSN Perak, usaha yang digerakkan oleh PAFA ini memberi kelebihan besar dalam mempersiapkan pasukan SUKMA yang lebih mantap,” katanya.
Pada 4 Jun lalu, Presiden PAFA Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa pasukan Perak akan dibarisi sebahagian besar pemain SUKMA serta beberapa tonggak senior yang pernah beraksi dalam Liga Super bagi menghadapi penyertaan sulung dalam Liga A1 Semi Pro.