KUALA LUMPUR: Peralihan daripada majalah bercetak kepada format digital bukan lagi sekadar pilihan, tetapi satu keperluan dalam era moden yang dipacu teknologi.
Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Anwar Ridhwan, menegaskan bahawa perubahan ini membawa pelbagai manfaat termasuk penjimatan kos, peningkatan kebolehcapaian, dan penyampaian kandungan yang lebih interaktif.
“Penggunaan platform digital membolehkan kos berkaitan percetakan, pengedaran dan penyimpanan fizikal dikurangkan secara ketara, menjadikannya lebih mesra kepada penerbit dan pembaca,“ katanya semasa merasmikan Seminar Kebangsaan Penerbitan Majalah dan Media Baharu Berbahasa Melayu di Malaysia di Wisma DBP.
Anwar, yang juga Sasterawan Negara, turut menekankan sumbangan majalah digital kepada kelestarian alam sekitar.
“Ia menghapuskan keperluan terhadap bahan bercetak yang lazimnya memerlukan penggunaan kertas, dakwat, dan tenaga pengangkutan, faktor yang menyumbang kepada penebangan hutan serta pelepasan karbon,“ jelasnya.
Selain itu, kandungan digital menawarkan pengalaman pembacaan yang lebih menarik dengan elemen interaktif seperti video, animasi, dan pautan.
“Generasi muda sangat erat hubungannya dengan dunia digital, menyebabkan mereka cenderung memilih penggunaan majalah digital,“ tambahnya.
Namun, Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari, mengingatkan bahawa perkembangan ini perlu disertai dengan penekanan terhadap kualiti dan kredibiliti kandungan.
“Dalam dunia media baharu, sesiapa sahaja boleh menerbitkan apa-apa penulisan atau mencipta sebarang bentuk kandungan,“ katanya.
Beliau menekankan pentingnya ekosistem yang mampan, termasuk latihan media digital, literasi maklumat, dan dasar penyiaran yang jelas untuk memastikan kandungan berkualiti tinggi terus dihasilkan. - Bernama