• 2025-07-17 04:12 PM

BEIJING: Perjanjian Pengecualian Visa Bersama antara China dan Malaysia telah berkuat kuasa secara rasmi mulai hari ini. Perjanjian ini ditandatangani semasa lawatan negara Presiden Xi Jinping ke Malaysia pada April lepas.

Menurut perjanjian tersebut, pemegang pasport awam dan biasa dari China serta pemegang pasport biasa Malaysia boleh melawat atau transit di negara masing-masing tanpa visa selama 30 hari bagi setiap lawatan.

Kemudahan ini meliputi tujuan seperti pelancongan, lawatan keluarga, urusan perniagaan, program pertukaran, rawatan perubatan, dan pengangkutan antarabangsa (anak kapal).

Sebelum ini, China telah melaksanakan dasar percubaan pengecualian visa 30 hari untuk pemegang pasport biasa Malaysia bermula 1 Disember 2023. Data statistik Malaysia menunjukkan bahawa dalam tempoh percubaan tersebut, jumlah pelancong China ke Malaysia mencecah 3.8 juta pada 2024, menjadikan China sumber pelancong terbesar Malaysia dari luar ASEAN.

Kini, China telah menandatangani perjanjian pengecualian visa dengan 158 negara. - Bernama