KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Ketua Pemuda Bersatu Adam Asmuni untuk mengemukakan keterangan baharu iaitu penyata akaun bank dalam rayuannya berhubung kes lucut hak terhadap kereta mewah dan barangan dirampas pihak berkuasa semasa serbuan dadah.
Hakim K. Muniandy memutuskan demikian selepas mendengar hujahan peguam Amirrul Jamaluddin yang mewakili Adam dan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan.
Terdahulu, Amirrul berhujah penyata akaun bank syarikat milik Adam iaitu Percetakan Alfa Gemilang dari 2014 hingga 2019 boleh digunakan sebagai keterangan bagi menyokong rayuannya terhadap perintah lucut hak yang diberikan hakim Mahkamah Sesyen pada 14 Mac 2023 di bawah Seksyen 32 (2) Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakkan Harta) 1988.
“Penyata akaun bank ini relevan dalam rayuan tersebut bagi menunjukkan status kewangan anak guam kukuh yang mana pendapatan diperolehnya adalah daripada syarikat Percetakan Alfa Gemilang.
“Syarikat itu sah dan banyak memperoleh tender puluhan dan jutaan ringgit daripada kerajaan. Oleh itu, aset dirampas juga adalah daripada sumber yang sah,“ kata peguam itu.
Selain itu, Amirrul berkata adik kepada pemohon (Adam) gagal mendapatkan penyata akaun bank di pejabat Adam, namun hanya berjaya mendapatkannya pada Februari 2024 dan diserahkan kepada peguam sekitar Mac 2024.
Mohamad Shahrizzat yang membantah permohonan itu berkata penyata akaun bank sepatutnya dikemukakan semasa prosiding pendengaran lucut hak di Mahkamah Sesyen dua tahun lepas.
“Sekiranya tidak mengemukakan penyata bank pada pendengaran itu, peguam boleh mengemukakan keterangan adik pemohon (Adam) sendiri. Selain itu, saya bersetuju dengan dapatan hakim Mahkamah Sesyen bahawa sebagai syarikat mengendalikan jutaan ringgit mesti ada juruaudit dan akauntan yang boleh mengesahkan mengenai penyata bank tersebut,“ katanya.
Hakim Muniandy kemudian menetapkan 30 Jun ini untuk pendengaran rayuan berhubung kes lucut hak.
Pada 14 Mac 2023, Hakim Nor Hasniah Ab Razak menolak permohonan Adam dan isterinya, Lyiana Roslee untuk mendapatkan semula kereta BMW X5 dan BMW 328i serta barangan lain termasuk wang tunai, kereta, motosikal, jam tangan mewah, beg tangan, komputer riba, gelang, rantai leher, serta akaun Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB).
Pada Januari lepas, Adam dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan iaitu memiliki dadah kanabis. Adam kini menjalani hukuman itu di Penjara Kajang.
Bagaimanapun, Lyiana dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terbabit.