KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melaksanakan perubahan lalu lintas di Jalan Sultan Ismail berkuat kuasa 22 Julai ini.

DBKL dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) memutuskan untuk mengembalikan Jalan Sultan Ismail iaitu dari persimpangan Jalan Raja Chulan ke persimpangan Jalan Bukit Bintang kepada jalan sehala mulai 12.01 tengah malam, 22 Julai ini.

Menurut DBKL perubahan lalu lintas itu dibuat selepas mengambil kira kajian dan aduan semasa pelaksanaan uji cuba bermula pada 1 Mei lepas sehingga kini yang melibatkan Jalan Sultan Ismail.

“JKMKKJR sentiasa komited dalam menangani isu kesesakan jalan raya terutamanya di Kuala Lumpur.

“Dengan mengembalikan Jalan Sultan Ismail kepada aliran asal (sehala), adalah diharap aliran lalu lintas akan kembali stabil khususnya di kawasan sekitar,” menurut kenyataan itu.