KUALA LUMPUR: Tumpuan kerajaan kepada aspek kesihatan yang menyaksikan Kementerian Kesihatan (KKM) menjadi kementerian yang menerima peruntukan kedua tertingi dalam Belanjawan 2025, akan membolehkan perkhidmatan kesihatan terus diperkukuhkan lagi.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata dengan peruntukan berjumlah RM45.27 bilion, ia menunjukkan bahawa kerajaan komited untuk pembaharuan perkhidmatan penjagaan kesihatan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

Beliau berkata peruntukan itu akan mengukuhkan lagi perkhidmatan kesihatan, demi meningkatkan kesejahteraan rakyat dengan memberi fokus perkhidmatan kesihatan daripada sick care kepada wellness.

“Perbelanjaan kesihatan ini merupakan suatu pelaburan yang diperlukan bagi memastikan rakyat Malaysia kekal sihat dan seterusnya boleh menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara.

“Pendekatan penjagaan kesihatan primer yang bersifat keseluruhan masyarakat akan diguna pakai untuk mewujudkan sistem penjagaan kesihatan yang lebih saksama, mampan, berdaya tahan dan berkualiti,” katanya dalam kenyataan.

Dzulkefly berkata pelbagai inisiatif akan dilaksanakan, antaranya menaik taraf klinik-klinik daif seluruh negara, cadangan menaikkan kadar duti eksais bagi minuman bergula secara berfasa bagi menyokong gerakan War on Sugar, menyokong Agenda Nasional Malaysia Sihat serta memperluas skop pelepasan cukai pendapatan individu ke atas perbelanjaan perubatan.

Beliau berkata semua inisiatif yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2025 itu akan dilaksanakan KKM dengan segera bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati rakyat selaras aspirasi Malaysia MADANI.

Menerusi Belanjawan 2025 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, KKM menerima peruntukan kedua tertinggi iaitu RM45.3 bilion ketimbang RM41.2 bilion tahun ini dengan mengutamakan kemudahan kesihatan berkualiti, selesa dan mesra rakyat.

Dzulkefly berkata daripada jumlah itu RM38.53 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus dengan peningkatan sebanyak RM3.38 bilion atau 9.62 peratus berbanding RM35.15 bilion pada tahun ini.

“Sebahagian besar peruntukan ini adalah untuk meningkatkan kapasiti penyampaian perkhidmatan kesihatan melalui penambahan emolumen kakitangan kesihatan, pengoperasian fasiliti-fasililiti kesihatan, perolehan bekalan ubat, reagen, vaksin dan bahan guna habis (consumables) perubatan dan pemerolehan aset.

“Baki sebanyak RM6.74 bilion adalah untuk perbelanjaan pembangunan dengan peningkatan sebanyak RM0.67 bilion atau 11.09 peratus berbanding RM6.07 bilion pada tahun ini. Melalui peruntukan ini, KKM akan menumpukan pelaksanaan projek naik taraf dan baik pulih yang berorientasikan rakyat (touch point),” katanya.