IPOH: Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM1 juta akibat terpedaya dengan sindiket penipuan melalui panggilan telefon (phone scam) yang menyamar sebagai pegawai sebuah agensi kerajaan dan pegawai polis.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata pesara kerajaan berusia 67 tahun itu membuat laporan polis di Taiping pada Selasa lepas setelah menyedari dirinya telah ditipu sindiket berkenaan sejak Ogos.

“Mangsa menerima panggilan telefon pada 8 Ogos daripada seorang wanita kononnya pegawai agensi kerajaan yang mendakwa kad bank milik mangsa terlibat dengan kegiatan pengubahan wang haram.

“(Panggilan) wanita itu kemudian disambungkan dengan seorang lelaki yang mendakwa sebagai Sarjan Tan Keng Seng kononnya mahu menyelesaikan kes terbabit yang berada dalam siasatan pihak polis.

“Mangsa dihubungi beberapa pegawai polis dengan mengarahkannya meletakkan kad bank di dalam sampul surat di atas rumput di alamat yang diarahkan suspek,“ katanya.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) Kontinjen Perak Tahun 2024 kepada 247 penerima terdiri daripada pesara polis, pegawai kanan dan pegawai rendah polis di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azizi berkata mangsa kemudian menerima mesej pengeluaran wang daripada akaun bank miliknya bermula 16 Ogos hingga 23 Ogos di dua akaun berbeza dan 75 kali transaksi menerusi pengeluaran mesin juruwang automatik (ATM) membabitkan jumlah sebanyak RM476,550.

“Mangsa juga telah diarahkan oleh dua suspek supaya memindahkan lagi wang dalam akaun banknya ke akaun pihak ketiga untuk siasatan dan mengelakkan wang dalam akaun terbabit dibekukan.

“Kedua-dua suspek juga berjanji akan mengembalikan wang mangsa setelah siasatan selesai dan kerana percaya dengan kata-kata suspek, mangsa melakukan 24 transaksi pemindahan wang daripada akaun bank sebanyak sembilan kali melibatkan jumlah RM590,000.

Menurut Azizi, setelah membuat semakan melalui penyata dua bank miliknya, mangsa mendapati dirinya telah mengalami kerugian sebanyak RM1.06 juta.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.