KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menumpaskan cubaan menyeludup rokok bernilai lebih RM100,000 dalam serbuan di Kampung Manjor, Laloh, pada Rabu lepas.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata rampasan itu dilakukan oleh sepasukan anggota Batalion 8 PGA menerusi Op Taring Alpha dalam serbuan ke atas sebuah premis sekitar pukul 8.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan menemukan sebanyak 46,000 batang rokok putih dan 10,000 batang rokok kretek yang dipercayai untuk pasaran tempatan,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, anggaran keseluruhan nilai rampasan ialah RM107,122.40, dan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, dan semua barang rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai untuk tindakan lanjut,“ katanya.