• 2025-07-25 08:27 PM

ALOR SETAR: Pasukan Gerakan AM (PGA) berjaya menahan tiga lelaki warga India dan merampas 19.431 kilogram (kg) dadah jenis bunga ganja bernilai lebih RM582,930 di Bukit Kayu Hitam, semalam. Ketiga-tiga suspek berusia antara 29 hingga 53 tahun itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika cuba memasuki negara melalui pintu sempadan Thailand.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Shahrum Hashim berkata suspek dikesan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Kilometer 1.1 arah selatan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam. “Hasil pemeriksaan menjumpai dadah jenis bunga ganja disembunyikan dalam dua beg beroda dan dua beg galas,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Dadah tersebut ditemui dalam plastik lut sinar dan beberapa bungkusan makanan ringan di dalam beg yang dibawa suspek. Selain itu, PGA turut merampas wang tunai sebanyak 6,000 Baht (RM80), menjadikan jumlah keseluruhan rampasan RM583,010.

Menurut Shahrum, siasatan awal mendapati suspek bertindak sebagai kurier membawa dadah yang dipercayai dibekalkan oleh sindiket dari negara jiran untuk diedarkan di Kuala Lumpur. Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama