• 2025-10-16 10:01 PM

SHAH ALAM: Pakatan Harapan akan mengumumkan senarai penuh calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 pada awal bulan depan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sabah Datuk Mustapha Sakmud menyatakan PH menyasarkan untuk meletakkan calon di 23 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan.

Beliau berkata calon yang bakal diketengahkan melibatkan gabungan muka lama dan baharu, teknokrat dan bekas penjawat awam serta kepimpinan di peringkat cabang.

Mustapha menjelaskan senarai calon yang dipersetujui akan diumumkan oleh Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada awal November.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi menegaskan jentera PH cukup bersedia dan bersemangat tinggi untuk menggerakkan kempen bagi memenangkan calon-calon parti itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan tarikh penamaan calon PRN Sabah pada 15 November.

Tarikh pengundian awal dan hari pengundian masing-masing ditetapkan pada 25 dan 29 November.

Pada 6 Oktober lepas, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Sabah bagi memberikan laluan kepada PRN Sabah ke-17.

Dewan Undangan Negeri Sabah mempunyai 79 kerusi dengan 73 daripadanya dipertandingkan.

Enam lagi kerusi merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri yang dilantik. – Bernama