KUALA LUMPUR: Penyerang negara Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal teruja untuk berdepan skuad New Zealand dalam saingan Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) 2025 yang akan membuka tirai Ahad ini.
Beliau berkata aksi menentang pasukan yang berada pada ranking lebih tinggi berbanding Malaysia itu pernah memahat kenangan manis buat dirinya pada Piala Sultan Azlan Shah yang lepas apabila melakukan jaringan hatrik dalam perlawanan itu.
“Saya teruja menantikan aksi bertemu New Zealand, pasukan yang mempunyai ranking tinggi sekali gus memberi saya peluang untuk belajar banyak perkara.
“Kalau boleh, saya mahu menjaringkan gol lagi,“ katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengenai perlawanan sulung Kumpulan B menentang Pakistan Ahad ini, Muhammad Azrai Aizad berkata Speedy Tigers bimbingan Sarjit Singh akan beraksi dengan misi wajib menang.
“Sasaran pasukan adalah untuk layak ke separuh akhir, jadi perlawanan pertama wajib menang. Tak kira bagaimana caranya, kita mesti menang.
“Kami telah melakukan latihan khas untuk bahagian serangan dan saya nampak hasilnya. Serangan kami lebih tajam dan tersusun, jadi kita akan lihat pada kejohanan nanti,“ katanya.
Malaysia diundi dalam Kumpulan B dan akan membuka tirai kejohanan dengan menentang Pakistan pada 15 Jun, diikuti Jepun pada 16 Jun dan New Zealand pada 18 Jun.
Kumpulan A dibarisi Perancis, Afrika Selatan, Korea Selatan dan Wales.
Malaysia menduduki tempat ketujuh pada edisi lepas yang berlangsung di Gniezno, Poland.