KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes seorang lelaki yang didakwa atas pertuduhan ke Syria dari Malaysia untuk melakukan perbuatan pengganas, yang sepatutnya bermula hari ini dan esok ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh kerajaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Perkara itu dimaklumkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Azura Mohd Saad ketika dihubungi Bernama menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

“Sepatutnya hari ini perbicaraan hari pertama kes itu namun, kes ditangguhkan berikutan pelaksanaan PKPB. Mahkamah menetapkan 3 Nov ini untuk sebutan kes itu bagi menetapkan tarikh perbicaraan baharu,” katanya.

Pada 3 Julai lepas, Ahmad Naim Zaid, 35, pemegang ijazah sarjana dari sebuah universiti awam mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah atas pertuduhan ke Syria dari Malaysia untuk melakukan perbuatan pengganas.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, pada 11 Mac 2015 mengikut Seksyen 130JA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Tertuduh dipercayai ditangkap selepas pulang dari Syria. — Bernama