• 2025-08-20 10:46 AM

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan keadilan diterjemahkan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang kaum majoriti atau minoriti.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata setiap pendekatan yang dilaksanakan perlu adil dengan mengambil kira keperluan rakyat.

“Kalau nak kita selamatkan negara, kena jamin tentunya keadilan bagi yang majoriti dan minoriti,“ katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan.

“Kita tidak mahu tyranny of the majority, kita tidak mahu tyranny of the minority.”

“Pendekatan itu harus lebih adil.”

Beliau menekankan kerajaan akan terus mendengar dan meneliti setiap pandangan menerusi dialog berterusan.

“Apa-apa kelemahan kita baiki dalam belanjawan (Belanjawan 2026).”

“Kita sekarang dengar semua pandangan, dalam belanjawan kita akan ubah suai dan perbaiki.”

“Tidak semestinya apa yang kita lakukan (sekarang) semua sempurna, ada kelemahan.”

“Sebab itu dialog mesti diteruskan.”

Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying. - Bernama