KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan memperkukuh amalan tatakelola baik di semua peringkat serta menanam nilai integriti dalam kalangan generasi muda sebagai pewaris kepimpinan negara.
Anwar berkata perkara itu dibangkitkan ketika beliau mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Tatakelola Dewan Kenegaraan hari ini, dengan beberapa perkara penting disentuh bagi memperjuangkan pembaharuan pentadbiran negara.
“Penekanan turut diberikan terhadap peranan golongan muda termasuk remaja dan belia dalam memahami serta menghayati kepentingan integriti, akauntabiliti dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran dan kepimpinan.
“Usaha ini antara lainnya dilaksanakan melalui pendekatan strategik melibatkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) serta pelbagai pihak berkepentingan,” katanya dalam catatannya menerusi Facebook hari ini.
Anwar berkata adalah menjadi keutamaan untuk memastikan kesedaran mengenai nilai dan prinsip tatakelola terus dipupuk dan diperkasakan sejak usia muda.
“Ini bukan sekadar membentuk individu berintegriti, tetapi juga melahirkan generasi pewaris kepimpinan negara yang mampu membawa aspirasi rakyat dengan penuh amanah dan profesionalisme,” katanya lagi.