• 2025-07-07 09:12 PM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan rasa sedih dan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga enam beranak yang ditemui meninggal dunia dalam sebuah kereta di Sungai Korok, dekat Jitra, Kedah.

Melalui hantaran di platform X, Anwar turut mendoakan agar ahli keluarga mangsa diberikan kekuatan menghadapi ujian berat ini.

“Saya amat sedih dan berdukacita menerima khabar tragedi menyayat hati melibatkan enam sekeluarga ini. Moga mereka dikurniakan ketabahan,“ katanya.

Tragedi ini menyelesaikan misteri kehilangan enam beranak sejak Sabtu lalu. Waris telah mengesahkan identiti mayat yang ditemui dalam kereta Proton Iswara yang tenggelam di sungai tersebut.

Mangsa dikenal pasti sebagai pasangan suami isteri, Mohamad Azim Izat Ishak, 32, dan Nurul Hidayah Khadijah Razman Efendi, 31, bersama empat anak mereka, Putra Rayyan Nur Izzat, 9; Hawa Adriana Nur Izzat, 8; Annayla Humaira Nur Izzat, 7; dan Tuah Haydar, enam bulan. - Bernama