MIRI: Seorang pesara syarikat swasta di sini mengalami kerugian hampir RM500,000 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Menurut Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata, lelaki berusia 60-an itu mula berurusan dengan suspek selepas melihat iklan di Facebook pada pertengahan Mei lalu.
“Tertarik dengan tawaran pelaburan yang dijanjikan, mangsa menekan pautan iklan tersebut dan kemudian dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp,“ kata Mancha dalam satu kenyataan.
Mangsa kemudian membuat beberapa transaksi pindahan wang ke akaun bank suspek, dengan jumlah keseluruhan mencecah RM500,000.
Mangsa hanya menyedari penipuan itu apabila suspek terus meminta bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan.
“Sehingga laporan dibuat, mangsa hanya menerima pulangan sekitar RM65,000,“ jelas Mancha.
Polis menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dengan tawaran pelaburan di media sosial dan membuat semakan sebelum melabur. – Bernama