• 2025-07-02 09:36 AM
PM arah kedutaan bantu rakyat Malaysia terkandas di Italy

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kedutaan Malaysia di Itali bertindak segera membantu seorang rakyat negara ini, Dalila Zaidi, yang terkandas di Milan selepas pasportnya dicuri.

Anwar turut memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Luar bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil. Beliau memberi respon menerusi ciapan balas kepada pengguna X, @daalilaz, yang memohon bantuan menyelesaikan isu kehilangan pasportnya.

“Salam PMX @anwaribrahim, my name is Dalila Zaidi and I’m a Malaysian currently stranded in Milan after my passport was stolen in the afternoon yesterday, 30 June 2025 near Santa Sofia station...I truly appreciate your attention to this,“ tulis Dalila.

Menurut ciapan itu, Dalila sudah cuba mendapatkan Sijil Perjalanan Kecemasan daripada Kedutaan Besar Malaysia di Rom tetapi urusan itu tidak dapat dilaksanakan kerana tiada pegawai untuk menandatangani dokumen. Keadaan ini dikaitkan dengan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Itali bermula hari ini.

Pesawat khas membawa Anwar dan delegasi berlepas dari KLIA pada 2.15 petang. Lawatan selama tiga hari itu atas undangan Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.