CANBERRA: Perdana Menteri Australia Anthony Albanese menyifatkan penafian Israel berkenaan krisis kebuluran di Gaza sebagai sesuatu yang “tidak masuk akal”. Beliau mengeluarkan kenyataan ini semasa mesyuarat Parti Buruh di Canberra, menolak dakwaan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan pegawai kedutaan Israel di Australia.
Albanese menegaskan bahawa Israel sendiri menghalang kemasukan wartawan ke Gaza, menjadikan penafian mereka sukar dipercayai. “Dakwaan bahawa tiada kebuluran di Gaza adalah sesuatu yang tidak dapat diterima akal,“ katanya.
Netanyahu sebelum ini mendakwa di media sosial bahawa tiada kebuluran atau dasar kebuluran di Gaza. Sementara itu, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Israel di Australia, Amir Meron, menyatakan Israel tidak mengiktiraf sebarang krisis makanan di wilayah itu dan menuduh laporan kebuluran sebagai “kempen palsu” Hamas.
Albanese sebelum ini mengkritik Israel dalam wawancara bersama ABC, menyatakan negara itu “jelas” melanggar undang-undang antarabangsa dengan menyekat bantuan kemanusiaan. Beliau juga menegaskan bahawa penafian bantuan dan pembunuhan orang awam “tidak boleh dipertahankan atau diabaikan”.
Ketika ditanya mengenai pengiktirafan Australia terhadap negara Palestin, Albanese menjelaskan bahawa beberapa syarat perlu dipenuhi terlebih dahulu, termasuk reformasi demokrasi. - Bernama